PROGRAM CAKNA USAHAWANAN DESAKU (CUDe)

19 PELAJAR FKP MENJADI ANAK ANGKAT KEPADA USAHAWAN DESA DALAM PROGRAM CAKNA USAHAWAN DESAKU (CUDe)

 

Kampus Kota, Universiti Malaysia Kelantan, 8 Jun 2023, seramai 19 orang pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan  telah berjaya mengikuti Program Cakna Usahawan Desaku (CUDe) pada 8 hingga 10 Jun 2023 yang bertempat di Kampung Changgai, Pasir Puteh, Kelantan. Program ini adalah kerjasama Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan , Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) menerusi Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Pusat Usahawan IKS Kelantan  dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Changgai, Pasir Puteh, Kelantan. Program ini dimulakan dengan sesi motivasi kepada para pelajar Tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan Changgai dan diikuti sesi lawatan ke industri desa iaitu Kilang Kopi Hamid, Kilang minuman roselle dan juga Rumah Kelulut. Melalui program ini, ianya memberi peluang kepada pelajar dan para pensyarah FKP untuk mengetahui secara dekat  perniagaan usahawan desa dan dalam masa yang sama membantu perniagaan usahawan desa yang juga merupakan keluarga angkat kepada pelajar. Selama 3 hari 2 malam ini, usahawan desa dan pelajar dibantu oleh para pensyarah UMK yang bertindak sebagai mentor berjaya berkongsi idea-idea dan inovasi untuk mengembangkan perniagaan usahawan desa. Antara produk-produk keluaran usahawan desa ini adalah madu kelulut, minyak urut, pakaian, minyak wangi dan kuih-muih. Acara kemuncak bagi program ini adalah aktiviti gotong royong membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Changgai dan gotong-royong bekwoh gulai kawah yang mana ianya dihadiri oeh sekurang-kurangnya 100 orang yang terdiri daripada para pelajar, pensyarah, pengurusan tertinggi FKP dan UMKEI, pihak sekolah dan juga penduduk kampung Kampung Changgai.  Amat membangggakan kerana pelajar dan pensyarah telah berjaya memberikan komitmen yang sangat baik dan mendapat pujian dari usahawan desa (keluarga angkat) dan juga pihak sekolah. Diharap, program seumpanya ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.